Sunday, March 27, 2011
Rehat lagi..
Wednesday, March 23, 2011
Muhasabah diri: Jaga la pertuturan mu
Jaga kata-kata mu...
Pepatah Arab ada mengatakan “Satu perkataan, apabila ia terbit dari hati maka akan jatuh ke hati, manakala jika ia terbit dari lidah ia tidak akan mampu menjangkau kecuali dua cuping telinga”. Perkara ini menekankan kepada konsep keikhlasan seseorang dalam mengeluarkan setiap patah perkataan sama ada untuk didengari ataupun dibaca oleh orang lain. Ikhlas itu letaknya pada hati. Oleh yang demikian, sesiapa yang hanya mengeluarkan perkataan tanpa keikhlasan, walaupun apa yang diperkatakan itu benar, tetapi mungkin ia sukar untuk diserap masuk ke dalam hati dan jiwa para pendengarnya.
Itu adalah hubungan antara lidah, hati dan keikhlasan. Lidah sebagai alat, hati sebagai jiwa manakala keikhlasan adalah nilai agama Islam. Apabila digabungkan antara alat, jiwa dan nilai agama, maka barulah akan datangnya keberkesanan sesuatu pekerjaan atau amalan manusia itu. Benarlah firman Allah (al-Bayinah:5): “Tidaklah mereka diperintahkan melainkan agar melakukan ibadah (sesuatu yang mendatangkan manfaat dan pahala) dengan ikhlas dan berdasarkan ajaran agama Islam yang maha suci.
Firman Allah (Qaf:18): “Tidak ada satu perkataan yang dilafazkan melainkan akan dicatat oleh malaikat Raqib dan Atid”.
Adalah menjadi kewajipan setiap muslim menjaga lidahnya. Mereka hendaklah tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan sesuatu perkataan dengan lidahnya melainkan perkataan yang ada manfaat bagi dirinya dan maslahah kepada agamanya (diri, keluarga dan masyarakat di sekeliling). Bahkan sekiranya sesuatu perkataan itu ada mengandungi manfaat dan mudharat pada satu-satu masa, seorang muslim juga hendaklah tidak memperkatakannya. Ia adalah sunnah Rasulullah SAW.
Sabda Nabi Muhammad SAW: “Barangsiapa yang benar-benar beriman kepada Allah dan hari pembalasan (kiamat) maka hendaklah ia memperkatakan kebaikan atau memilih untuk berdiam diri”.
Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa seseorang muslim tidak boleh memperkatakan sesuatu kecuali jika ia pasti mengandungi kebaikan (manfaat). Sekiranya ia syak akan perkataannya itu adakah ia akan membawa kebaikan atau mengundang keburukan, maka hendaklah ia tidak meneruskan perkataan tersebut. Imam Syafii mewasiatkan “Apabila seseorang ingin berkata sesuatu perkataan, maka ia perlu memikirkan terlebih dahulu adakah ia pasti membawa kebaikan maka diteruskan. Sebaliknya jika ia syak sama ada perkataannya itu membawa kebaikan atau keburukan, hendaklah ia tidak meneruskan perkataannya sehingga kepastian perkataannya itu membawa kebaikan tercapai”.
Menerusi wasiat Imam Syafii itu, kita dapat menyimpulkan bahawa hanya perkataan-perkataan baik sahaja yang perlu diucapkan oleh seseorang Muslim. Manakala jika ia syak, hendaklah ia menahan perkataanya itu sehingga syak dan ragu-ragunya (bahawa perkataan itu akan mengundang keburukan) itu hilang. Apatah lagi perkataan yang ia pasti membawa keburukan maka ia tidak langsung diamalkan.
Oleh itu, berfikirlah sebelum kita mengeluarkan kata. Sesungguhnya pada tiap-tiap perkataan itu ada dosa atau pahala yang pasti dicatatkan oleh malaikat pencatat yang tidak pernah lupa atau alpa pada tugas-tugasnya. Diriwayatkan daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda berpesan “Sesungguhnya seseorang hamba Allah yang memperkataan satu perkataan yang mengundang redha Allah nescaya kedudukannya di sisi Allah akan diangkat beberapa darjat. Sebaliknya seseorang hamba Allah yang memperkatakan satu perkataan yang mengundang murka Allah nescaya pasti ia akan dicampakkan ke Neraka Jahannam”. Begitulah atau sebagaimana mafhum hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW riwayat al-Bukhari.
15 anugerah Allah pada wanita tidak pada lelaki
1. Pada suatu ketika di Madinah, Rasulullah s.a.w. keluar mengiringi jenazah. Baginda dapati beberapa orang wanita dalam majlis tersebut. lalu Baginda bertanya, “Adakah kamu menyembahyangkan mayat?” Jawab mereka,”Tidak” Sabda Baginda “Seeloknya kamu sekalian tidak perlu ziarah dan tidak ada pahala bagi kamu. Tetapi tinggallah di rumah dan berkhidmatlah kepada suami nescaya pahalanya sama dengan ibadat kaum orang lelaki.
2. Wanita yang memerah susu binatang dengan ‘Bismillah’ akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.
3. Wanita yang menguli tepung gandum dengan ‘Bismillah’, Allah akan berkatkan rezekinya.
4. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti meyapu lantai di Baitullah.
5. “Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang mengeluarkan peluh ketika membuat roti, Allah akan membinakan 7 parit di antara dirinya dengan api neraka, jarak di antara parit itu ialah sejauh langit dan bumi.”
6. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang, Allah akan mencatatkan untuknya perbuatan baik sebanyak utas benang yang dibuat dan memadamkan seratus perbuatan jahat.”
7. “Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang menganyam akan benang dibuatnya, Allah telah menentukan satu tempat khas untuknya di atas tahta di hari akhirat.”
8. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang dan kemudian dibuat pakaian untuk anak-anaknya maka Allah akan mencatit baginya ganjaran sama seperti orang yang memberi makan kepada 1000 orang lapar dan memberi pakaian kepada 1000 orang yang tidak berpakaian.”
9. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang meminyakkan rambut anaknya, menyikatnya, mencuci pakaian mereka dan mencuci akan diri anaknya itu, Allah akan mencatatkan untuknya pekerjaan baik sebanyak helai rambut mereka dan memadamkan sebanyak itu pula pekerjaan jahat dan menjadikan dirinya kelihatan berseri di mata orang-orang yang memerhatikannya.”
10. Sabda Nabi s.a.w. : “Ya Fatimah setiap wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong misai dan mengerat kukunya, Allah akan memberi minum kepadanya dari sungai-sungai serta diringankan Allah baginya sakaratul maut dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman daripada taman-taman syurga dan dicatatkan Allah baginya kelepasan dari api neraka dan selamatlah ia melintas Titian Sirat.”
11. Jika suami mengajarkan atau menerangkan kepada isterinya satu masalah agama atau dunia dia akan mendapat pahala 80 tahun ibadat.
12. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga dan menunggu kedatangan suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.
13. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya iaitu melabuhkan pakaiannya di dunia ini dengan istiqamah. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah.
14. Salah satu tanda keberkatan wanita itu ialah cepat perkahwinannya, cepat pula kehamilannya dan ringan pula maharnya (mas kahwin).
15. Sebaik-baik wanita ialah wanita (isteri) yang apabila engkau memandang kepadanya ia menggembirakan kamu, jika engkau memerintahnya ia mentaati perintah tersebut dan jika engkau bermusafir dia menjaga harta engkau dan dirinya. Maksud hadis: Dunia yang paling aku sukai ialah wanita solehah.
Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.’ (An Nisa :1)
'Ballighu anni walau a'yah'
'sampaikanlah daripadaku walau sepotong ayat' (maksud hadis Nabi S.A.W.)